Monday, December 12, 2011

6 Tips Persediaan Bersalin


Bersalin atau melahirkan bayi adalah suatu proses di mana ibu-ibu terpaksa melalui kesakitan yang tidak terjangkau. Oleh itu, anda (ibu-ibu) harus membuat persediaan dari segi mental dan fizikal supaya anda bersedia menghadapi apa jua pengalaman bersalin. Kebanyakan daripada anda biasanya akan mula mempunyai perasaan yang bercampur-baur (takut, teruja, sedih, gembira, dan sebagainya) apabila usia kandungan sudah masuk trimester ketiga. Di sini, saya ingin berkongsi 6 tips yang mungkin boleh membantu anda membuat persediaan awal untuk bersalin.

Dapatkan diet yang seimbang

Sepanjang tempoh hamil, anda seharusnya mengambil pemakanan yang mempunyai nutrisi yang cukup untuk diri anda sendiri dan juga kandungan. Diet yang seimbang tidak bermaksud anda perlu makan banyak. Sebaliknya cukup untuk keperluan kedua-duanya tetapi mengandungi semua nutrisi pemakanan. Tidak lupa, vitamin-vitamin yang dibekalkan oleh pihak hospital/klinik seperti obimin, asid folik, vitamin C, dan lain-lain. Kurangkan/elakkan pengambilan kafein dan jangan lupa minum banyak air kosong/masak/suam yang mana dapat membantu memberi tenaga semasa proses bersalin.

Menghadiri Kelas Ante-Natal

Anda dan pasangan boleh menghadiri mana-mana kelas ante-natal untuk membantu anda di dalam membuat persediaan bersalin. Di dalam kelas ini selalunya akan diajar teknik-teknik melahirkan dan yang paling penting proses pernafasan yang betul perlu dipelajari.

Aktifkan diri anda

Anda tidak digalakkan untuk hanya duduk berehat terutamanya apabila usia kandungan sudah memasuki trimester ketiga (kecuali atas nasihat daripada doctor). Anda perlu aktif bergerak untuk memudahkan proses bersalin. Tetapi, jangan terlalu aktif sehingga membahayakan diri dan kandungan. Cukup sekadar berjalan kaki dalam 10-15 minit, atau menaiki/menuruni tangga daripada menaiki lif. Jangan paksa diri anda jika berasa terlalu penat.

Lakukan senaman kegel

Pelajari teknik senaman kegel yang dipercayai dapat membantu proses kelahiran.

Dapatkan rehat secukupnya

Di akhir tempoh kehamilan, cuba dapatkan rehat dan tidur yang secukupnya.Tidur yang cukup membantu memberi tenaga untuk bersalin.

Tenangkan diri; fizikal dan mental

Anda perlu tenangkan diri di akhir tempoh kehamilan. Cuba jangan fikir dan ikut perasaan yang bercampur-baur. Bagi anda yang beragama Islam, banyakkan berzikir dan membaca al-Quran, surah-surah terutama seperti al-Fatihah, Surah Maryam, Surah Luqman, Surah Yusuf, Surah Yasin. Surah Hujurat, Surah An-Nahl. Berastagfirullah dan zikir Ya Allah, Lailahailla antasubha nakainni kuntuminazzolimin. Mintak ampun dengan  suami, berdoa mohon dipermudahkan-Nya.

Begitulah serba sedikit tips bersalin yang dapat dikongsi dengan anda. Semoga anda dapat mempraktikkan apa yang tertulis dan berserah segala-galanya kepada Yang Maha Pencipta.

Thursday, December 8, 2011

Kelahiran Normal: Persediaan Bagi Kaum Bapa

Salam.
Apabila usia kandungan sudah mula memasuki 6 bulan atau 24 minggu, pasangan yang pertama kali menunggu kelahiran cahaya mata sudah mula memikirkan dan berbincang sama ada ingin melahirkan secara normal atau pembedahan. Keputusan yang dibuat juga merangkumi keadaan kesihatan ibu dan juga kandungan. Bagi pasangan yang membuat keputusan untuk melahirkan secara normal, anda (kaum bapa) ini perlu bersiap sedia dengan apa jua situasi yang bakal berlaku.

Bersedia untuk kelahiran normal.
Anda perlu bersedia dengan kelahiran normal yang mungkin akan menunjukkan reaksi menahan kesakitan oleh si ibu. Kesakitan menahan sakit kontraksi apabila mahu melahirkan, tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Namun, kesakitan ini bukanlah satu penyakit buat si ibu. Ianya adalah kesakitan sementara yang bertujuan baik untuk si ibu. Kesakitan ini adalah kebiasaan. Hanya kes-kes tertentu sahaja yang mungkin mendatangkan bahaya buat ibu dan kandungan, namun masih dibenarkan untuk meneruskan kelahiran secara normal atas nasihat dan tunjuk ajar dari doctor.

Kaum bapa sebagai kekuatan dan semangat untuk ibu.
Semasa proses kelahiran berlaku, kaum ibu perlu perhatian, ketenangan, kekuatan dan memberi semangat dari anda untuk menghadapi proses kelahiran. Ianya amatlah perlu bagi anda mendapat informasi terlebih dahulu mengenai bagaimana proses kelahiran berlaku.

Persediaan kaum bapa sebelum proses kelahiran normal.
Sebagai pasangan yang prihatin, anda perlulah bersiap sedia dengan ilmu mengenai proses kelahiran secara normal, ubat-ubatan yang perlu atau tidak perlu diambil oleh ibu, dan komplikasi-komplikasi yang bakal berlaku dan cara menanganinya.
Informasi-informasi ini boleh didapati melalui pembacaan, pengalaman orang lain, nasihat dan tunjuk ajar dari doctor. Selain itu, anda dan pasangan juga boleh menghadiri kelas-kelas ‘ante-natal, labor and childbirth’ di mana-mana pusat perubatan yang menyediakan kelas-kelas tersebut, sama ada yang berbayar ataupun tidak.
Anda juga perlu mengambil tahu tentang keadaan pasangan anda yang sedang mengandung; keadaan yang bagaimana selesa bagi si ibu, apa yang boleh menenangkan si ibu, dan berkomunikasi dengan pasangan apa yang tidak selesa bagi ibu. Semua ini dapat membantu anda bertenang dan dapat mengawal situasi semasa proses kelahiran berlaku.

Persediaan kaum bapa semasa proses kelahiran berlaku.
Kini, tiba masanya untuk proses kelahiran. Dengan ilmu di dada, praktikkan apa yang anda tahu dan perlu lakukan. Bantu pasangan anda semasa menahan kesakitan kontraksi. Mungkin, ada baiknya sekiranya anda meminta untuk menemani pasangan ke dalam dewan/bilik bersalin. Biasanya, doctor atau bidan akan membantu anda tentang apa yang perlu dilakukan sebagai ‘support person’. Insya-Allah, dengan izin-Nya, segala-galanya akan berjalan dengan lancar.

Saturday, December 3, 2011

Penyusuan Susu Ibu di Minggu Awal Kelahiran

Salam.
Tajuk hari ini ialah penyusuan susu ibu di minggu awal kelahiran. Bagi 1st time mothers yang ingin menyusukan bayi (breastfeed) mungkin akan bertanyakan soalan ini semasa pertama kali menyusu di minggu awal kelahiran; berapa kerap penyusuan susu ibu bagi bayi baru lahir?
Jawapan bagi soalan pertama, berapa kerap penyusuan susu ibu bagi bayi baru lahir ialah sekerap yang mungkin, bergantung kepada demand atau permintaan daripada bayi. Ini akan menggalakkan milk supply and membantu di dalam pengecutan rahim ibu. Atau, mungkin ibu-ibu boleh juga menjangkakan demand bayi untuk menyusu sebanyak 10-12 kali dalam tempoh 24 jam. Namun, apapun yang paling utama bergantung kepada demand daripada bayi.
Berapa lama jangka masa bayi patut menyusu dan tempoh saya patut menyusukan bayi? Jawapannnya ialah apabila bayi anda mula menunjukkan tanda-tanda lapar/dahaga (contohnya, bayi memasukkan jari ke dalam mulut, bayi seperti menelan air liur). Ingat, cuba untuk menyusukan bayi sebelum dia menangis kerana ini mungkin akan menyebabkan bayi merajuk dan agak susah untuk memberi bayi direct feeding. Ibu pula akan mula stress. Tempoh masa  berapa lama menyusu bagi sebelah breast ialah selama mana bayi mahu menyusu. Kemudian baru beralih ke breast satu lagi.
Akhir sekali, ada juga sesetengah bayi yang lebih suka tidur atau kita panggil ‘sleepy baby’. Bagi bayi begini, ibu-ibu harus mengejutkan bayi untuk menyusu setiap 2 jam sekali pada waktu siang dan lebih kurang 4 jam sekali pada waktu malam. Mungkin agak sukar untuk menyusukan bayi sebegini tetapi ibu harus kuat semangat dan tidak mengalah untuk meneruskan penyusuan susu ibu.
Semoga Berjaya.

Tuesday, November 29, 2011

Imam Muda Asyraf dan Isteri Dikurniakan Rezeki Bayi Lelaki

Salam.
Hari ini saya terbaca tentang Imam Muda Asyraf dan isteri yang telah dikurniakan rezeki seorang bayi lelaki pada 18 November 2011 yang lepas. Bayi comel tersebut dilahirkan seberat 2.5kg di Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi.
Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kepada beliau sekeluarga. Semoga dengan kehadiran bayi sulung dapat menambah keceriaan, kebahagiaan dan keharmonian dalam rumah tangga mereka. Anak adalah rezeki yang tiada tolok-bandingnya.

Wednesday, November 23, 2011

Bekas Simpanan Susu Ibu Perahan

Salam.
Bagi ibu-ibu yang baru melahirkan, terutama mereka yang bekerjaya, sudah tentu mula memikirkan bila patut mula memerah susu dan bagaimana cara/bekas penyimpanan yang betul untuk susu ibu perahan.
Bila patut mula memerah?
Ibu-ibu digalakkan mula memerah susu dalam tempoh 2 minggu selepas melahirkan/ seawal 1 minggu selepas melahirkan/ bila-bila masa apabila ‘breast’ anda mula membengkak.
Terdapat dua cara/bekas penyimpanan susu ibu perahan iaitu sama ada menggunakan BPA Free botol/kiub simpanan susu ibu atau menggunakan plastic simpanan susu ibu. Penggunaan botol adalah lebih mudah kerana ‘probability’ untuk susu ibu perahan tumpah adalah lebih kurang berbanding penggunaan plastic. Di samping itu, ianya lebih mudah untuk memanaskan susu ibu perahan kerana susu ibu perahan boleh dipanaskan terus menggunakan botol tersebut. Jika menggunakan plastic, ibu-ibu perlu memindahkan terlebih dahulu susu ibu perahan tadi ke dalam botol sebelum dipanaskan. Selain itu, untuk simpanan susu ibu perahan yang lebih tahan lama, penggunaan botol dipercayai lebih baik berbanding palstik. Namun, penggunaan plastic simpanan lebih jimat dari segi kewangan dan ruang penyimpanan.
Saya amat menggalakkan ibu-ibu di luar sana menyimpan susu ibu perahan menggunakan bekas simpanan susu ibu yang betul. Simpanlah di dalam bekas bebas BPA (BPA Free) untuk mengelakkan bayi kita termakan/ terminum bahan-bahan kimia yang tidak baik untuk kesihatan bayi.

Saturday, November 19, 2011

4 Kebaikan Penyusuan Susu Ibu Kepada Ibu

Salam.
Di entry yang lepas, saya telah senaraikan 10 kebaikan penyusuan susu ibu kepada bayi anda. Hari ini, saya senaraikan pula 4 kebaikan penyusuan susu ibu kepada anda sebagai ibu yang menyusu.
1.       Sebaik melahirkan, ibu-ibu akan disuruh untuk menyusukan bayi. Ini adalah baik kerana ianya akan meningkatkan kontraksi rahim dan mengurangkan risiko pendarahan selepas bersalin.
2.       Penyusuan susu ibu dapat membantu mengecutkan rahim.
3.       Penyusuan susu ibu dapat mengurangkan risiko kanser payudara dan serviks.
4.       Menyusukan bayi dapat membantu membakar kalori, sehingga membantu penurunan berat badan yang lebih cepat.
Saya telah pun berkongsi kebaikan-kebaikan penyusuan susu ibu kepada bayi dan ibu. Anda sebagai ibu/ bakal ibu haruslah membuat keputusan sebaik-baiknya untuk bayi anda. Pilihan terletak di tangan anda; penyusuan susu ibu atau formula.

Thursday, November 17, 2011

10 Kebaikan Penyusuan Susu Ibu Kepada Bayi

Assalamualaikum w.b.t.
Sudah lama saya tidak menulis di blog. Macam-macam perkara terjadi yang menyebabkan saya terlalu sibuk dan tidak sempat menulis tentang ilmu pengetahuan, pengalaman, dan informasi yang ingin dikongsikan di sini. Hari ini, saya berkesempatan untuk berkongsi satu lagi informasi berguna buat anda (bakal ibu/bapa, ibu-ibu/bapa-bapa, mahupun sesiapa sahaja yang dahagakan ilmu di luar sana) tentang penyusuan susu ibu atau ‘breastfeeding’.
Bagi bakal-bakal ibu, anda digalakkan untuk mula membuat keputusan sama ada ingin menyusukan bayi anda secara eksklusif atau tidak bermula dari akhir trimester kedua, iaitu semasa kandungan anda berusia 6 bulan. Ini adalah untuk memberi ruang persedian dari segi fizikal dan mental ibu itu untuk menghadapi segala dugaan dan cabaran sepanjang penyusuan susu ibu secara eksklusif dijalankan. Bagi yang ingin menyusukan bayi secara ekslusif, adalah amat digalakkan untuk menghadiri mana-mana kelas penyusuan susu ibu.
Saya amat menggalakkan bakal-bakal ibu di luar sana untuk menyusukan bayi secara eksklusif. Ini adalah kerana susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi anda, yang menyediakan keperluan nutrisi dan imunisasi pertama bagi bayi yang baru lahir. Jika anda membeli susu formula untuk bayi yang berumur 12 bulan ke bawah, di luar tin itu sendiri tertulis bahawa ‘Susu Ibu adalah Makanan Terbaik untuk Bayi’.
Di sini, saya ingin senaraikan 10 kebaikan penyusuan susu ibu kepada bayi anda yang bakal lahir berdasarkan pembacaan dan pengalaman saya sendiri.
1.       Seperti yang telah saya sebutkan di atas, susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi yang menyediakakn keperluan nutrisi dan imunisasi pertama bagi bayi baru lahir.
2.       Susu ibu mudah dicerna oleh bayi.
3.       Bayi yang menyusu susu ibu jarang mendapat/mengalami alahan.
4.       Nutrisi yang terdapat dalam susu ibu mudah diserap oleh bayi.
5.       Susu ibu kaya dengan antibodi yang dapat membantu tubuh bayi melawan infeksi dan penyakit.
6.       Susu ibu dapat mencegah karis gigi.
7.       Kajian mendapati susu ibu mengandungi DHA/AA yang membuatkan bayi menjadi lebih cergas.
8.       Penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga 4 bulan akan menurunkan risiko sakit jantung apabila dewasa.
9.       Susu ibu juga menurunkan risiko cirit-birit, infeksi saluran pernafasan bahagian bawah, saluran kencing dan menurunkan risiko kematian bayi secara mendadak.
10.    Membantu membina ikatan kasih saying antara ibu dan bayi.
Kebaikan penyusuan susu ibu bukan hanya untuk bayi sahaja tetapi juga untuk ibu itu sendiri. Saya akan senaraikan pula kebaikan penyusuan susu ibu kepada anda, bakal-bakal ibu menyusu di entry akan datang.
Sekian, jumpa lagi.