Thursday, December 8, 2011

Kelahiran Normal: Persediaan Bagi Kaum Bapa

Salam.
Apabila usia kandungan sudah mula memasuki 6 bulan atau 24 minggu, pasangan yang pertama kali menunggu kelahiran cahaya mata sudah mula memikirkan dan berbincang sama ada ingin melahirkan secara normal atau pembedahan. Keputusan yang dibuat juga merangkumi keadaan kesihatan ibu dan juga kandungan. Bagi pasangan yang membuat keputusan untuk melahirkan secara normal, anda (kaum bapa) ini perlu bersiap sedia dengan apa jua situasi yang bakal berlaku.

Bersedia untuk kelahiran normal.
Anda perlu bersedia dengan kelahiran normal yang mungkin akan menunjukkan reaksi menahan kesakitan oleh si ibu. Kesakitan menahan sakit kontraksi apabila mahu melahirkan, tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Namun, kesakitan ini bukanlah satu penyakit buat si ibu. Ianya adalah kesakitan sementara yang bertujuan baik untuk si ibu. Kesakitan ini adalah kebiasaan. Hanya kes-kes tertentu sahaja yang mungkin mendatangkan bahaya buat ibu dan kandungan, namun masih dibenarkan untuk meneruskan kelahiran secara normal atas nasihat dan tunjuk ajar dari doctor.

Kaum bapa sebagai kekuatan dan semangat untuk ibu.
Semasa proses kelahiran berlaku, kaum ibu perlu perhatian, ketenangan, kekuatan dan memberi semangat dari anda untuk menghadapi proses kelahiran. Ianya amatlah perlu bagi anda mendapat informasi terlebih dahulu mengenai bagaimana proses kelahiran berlaku.

Persediaan kaum bapa sebelum proses kelahiran normal.
Sebagai pasangan yang prihatin, anda perlulah bersiap sedia dengan ilmu mengenai proses kelahiran secara normal, ubat-ubatan yang perlu atau tidak perlu diambil oleh ibu, dan komplikasi-komplikasi yang bakal berlaku dan cara menanganinya.
Informasi-informasi ini boleh didapati melalui pembacaan, pengalaman orang lain, nasihat dan tunjuk ajar dari doctor. Selain itu, anda dan pasangan juga boleh menghadiri kelas-kelas ‘ante-natal, labor and childbirth’ di mana-mana pusat perubatan yang menyediakan kelas-kelas tersebut, sama ada yang berbayar ataupun tidak.
Anda juga perlu mengambil tahu tentang keadaan pasangan anda yang sedang mengandung; keadaan yang bagaimana selesa bagi si ibu, apa yang boleh menenangkan si ibu, dan berkomunikasi dengan pasangan apa yang tidak selesa bagi ibu. Semua ini dapat membantu anda bertenang dan dapat mengawal situasi semasa proses kelahiran berlaku.

Persediaan kaum bapa semasa proses kelahiran berlaku.
Kini, tiba masanya untuk proses kelahiran. Dengan ilmu di dada, praktikkan apa yang anda tahu dan perlu lakukan. Bantu pasangan anda semasa menahan kesakitan kontraksi. Mungkin, ada baiknya sekiranya anda meminta untuk menemani pasangan ke dalam dewan/bilik bersalin. Biasanya, doctor atau bidan akan membantu anda tentang apa yang perlu dilakukan sebagai ‘support person’. Insya-Allah, dengan izin-Nya, segala-galanya akan berjalan dengan lancar.

No comments:

Post a Comment