Thursday, December 29, 2011

8 Tips Menangani Tekanan Semasa Berpantang

Salam.

Bertemu lagi untuk lain-lain topic berkaitan bayi dan anda. Kali ini, saya ingin berkongsi tentang cara untuk berhadapan dengan tekanan semasa dalam pantang.

Terdapat perbezaan semasa saya berpantang anak yang sulung dan kedua. Perbezaan paling ketara ialah, semasa berpantang yang sulung, saya berpantang di rumah mak. Manakala, berpantang anak yang kedua, saya membuat keputusan untuk berpantang sendirian di rumah saya sendiri.

Sebenarnya berpantang sendirian bukanlah suatu perkara yang mudah. Semasa berpantang di rumah mak, saya tidak mengalami tekanan sepanjang tempoh berpantang. Tetapi, apabila berpantang anak yang kedua, saya mengalami tekanan hampir sepanjang tempoh berpantang.

Tips-tips berikut boleh dijadikan panduan bagi anda yang akan berpantang.

  1. Dapatkan masa rehat yang secukupnya. Anda cuba untuk tidur semasa bayi anda sedang tidur. Inilah yang saya lakukan semasa berpantang anak yang sulung. Tetapi apabila berpantang sendirian, kita terpaksa melakukan segalanya sendirian. Semasa anak tidurlah kita nak mandi, masak, makan, dan macam-macam benda lagi yang kita nak lakukan. Jadi, kita tiada masa untuk rehat. Ini tidak sepatutnya berlaku. Sebaiknya, cari seseorang yang dapat membantu kita menguruskan anak dan rumah.
  2. Ingat Allah. Cuba tenangkan diri mengingati yang Maha Esa. Tarik nafas sedalam-dalamnya beberapa kali sehingga anda berasa benar-benar tenang dan kosongkan minda.
  3. Makan berkhasiat. Makan makanan yang berkhasiat semasa dalam pantang. Namun, mana-mana makanan yang dipercayai tidak berapa elok dimakan semasa berpantang, cuba elakkan. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Terutama bagi mereka yang menyusui anak, banyakkan minum air masak supaya badan tidak kering. Boleh cuba makan dalam kuantiti yang sedikit dalam suatu masa tetapi kerap. Ingat, jangan biar perut kosong semasa dalam pantang.
  4. Ambil masa untuk mempersiapkan diri. Berpantang tidak bermakna anda perlu kelihatan selekeh. Cuba siapkan diri anda sebaiknya untuk meningkatkan keyakinan diri.
  5. Sentiasa senyum dan ketawa.
  6. Selalu berdoa supaya Allah tenangkan hati dan perasaan. Allah sentiasa berada di samping hamba-hambanya. Ada tips dari ibu saudara yang menyuruh saya mengamalkan doa ini; Allahummainni a’uzubikaminal hammiwalhazan, Wa a’uzubikaminal ‘ajziwalkasal, wa a’uzubikaminal jubniwal bukh, wa a’uzubikamin gholabatiddai niwakhohrirrijal (Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari kerunsingan dan dukacita; aku berlindung dengan-Mu dari kelemahan dan kemalasan; aku berlindung dengan-Mu dari perasaan penakut dan bakhil; dan aku berlindung dengan-Mu dari belenggu hutang dan kekasaran orang).
  7.  Lakukan perkara yang anda suka (selagi bukan aktiviti fizikal yang berat).
  8. Luahkan perasaan kepada orang yang terdekat dengan anda. Di sini, kebiasaannya seorang isteri benar-benar memerlukan sokongan dan bantuan dari suami.

Ibu-ibu, tekanan semasa berada di dalam pantang amat mengganggu fikiran. Cuba lakukan tips-tips yang diberi di atas. Insya-Allah, mudah-mudahan dengan izin-Nya anda mampu menangani segalanya. Sekian, jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment