Showing posts with label Bayi. Show all posts
Showing posts with label Bayi. Show all posts

Wednesday, February 15, 2012

Bayi Dalam Kandungan dan Rezeki

Salam.
Sudah terlalu lama rasanya tidak mencurah idea dan informasi di dalam blog ini. Tajuk hari ini ialah ‘Bayi Dalam Kandungan dan Rezeki’. Pernahkah anda terfikir, mampukah aku untuk menyediakan keperluan bayi yang berada di dalam kandungan ini, sedangkan dalam keadaan sekarangpun (situasi semasa) apa yang diperoleh tiap-tiap bulan adalah cukup-cukup untuk perbelanjaan bulan tersebut? Bagaimana nak menanggung satu lagi tanggungan yang merupakan tanggungjawab terbesar bagi ibu bapa?

Jika ini dipersoalkan di hadapan orang lain, pasti jawapannya ialah ‘Insya-Allah, setiap anak itu ada rezeki masing-masing’. Jawapan ini adalah jawapan paling selamat untuk menyedapkan hati para bakal ibu dan bapa di luar sana. Namun, dari mana datangnya rezeki tersebut? Tidak lain dan tidak bukan hanya dari Allah Yang Maha Esa. Ini dijelaskan dalam salah satu hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud; “Sesungguhnya seseorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya dalam rahim ibunya empat puluh hari sebagai setitis mani, kemudian dia menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama juga, kemudian dia bertukar menjadi seketul dagingjuga dalam tempoh yang sama, kemudian diutuskan kepadanya malaikat untuk meniupkan roh padanya dan diperintahkan juga oleh Allah akan malaikat itu untuk menulis empat perkara iaitu amalnya, rezekinya, ajalnya, dan adakah dia orang yang celaka atau bahagia...”

Keempat-empat perkara yang telah ditulis oleh malaikat dengan perintah Allah S.W.T. boleh berubah setelah lahirnya bayi tersebut ke dunia ini. Ini adalah kerana bayi tersebut diberi kebebasan oleh Allah S.W.T. untuk berusaha dan berikhtiar bagi menentukan nasibnya di masa akan datang. Di awal kelahirannya, anda sebagai ibu harus memainkan peranan utama di dalam mencorakkan masa depan dan rezekinya. Doa ibu adalah senjata bagi anak yang dapat mengubah nasib anak tersebut. Berdoa, berdoa, dan terus berdoa tanpa henti. Mengeluarkan kata-kata yang baik-baik sahaja untuk anak-anak.

Dari pengalaman saya yang baru sahaja menjadi ibu selama 2 tahun ini, saya perasan yang anak saya mudah mengikut kata-kata yang keluar dari mulut saya dan suami. Sekiranya pujian dan penghargaan yang sering diberikan, dia juga akan turut melakukan perkara yang sama kepada adiknya. Doa saya yang tidak pernah putus buat anak saya Zara Damia Binti Mohd Najib, Muhammad Izz Irfan Bin Mohd Najib, dan bayi dalam kandungan yang hampir mencecah usia 31 minggu; ‘Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, jadikan anak-anakku seorang anak yang soleh dan solehah, tetapkan iman mereka dalam Islam, sentiasa taat dan patuh pada perintahMu, mengikut ajaran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W, taat kepada aku dan suami sebagai ibu bapa mereka, menjadi seorang yang berilmu dan rajin mencari dan menambah ilmu pengetahuan berguna, menjadi seorang yang cerdik akal, berpekerti mulia. Sesungguhnya Engkau Maha Kaya Ya Allah, limpahkanlah kekayaanMu ke atas anak-anakku, murahkan rezeki mereka dan Engkau permudahkanlah urusan mereka. Jauhilah mereka dari perkara-perkara maksiat dan sentiasa beri petunjuk dan hidayah kepada mereka ke jalanMu yang benar. Juga tidak lupa jadikan aku dan suamiku ibu bapa yang dapat mendidik anak-anak kami mengikut petunjuk jalan yang diberkati dan diredhaiMu. Ameen.’

Sekian dulu, wassalam.

Tuesday, January 3, 2012

10 Aktiviti Yang Dapat Membentuk Minda Bayi Baru Lahir

Pembentukan minda bayi terjadi sejak di dalam kandungan lagi. Sebanyak 250,000 sel-sel neuron terbentuk setiap minit. Apabila bayi lahir, hampir keseluruhan sel-sel neuron telah terbentuk. Namun, bagaimana pula ibu bapa dapat membentuk minda bagi yang baru lahir. Anda boleh mencuba aktiviti-aktiviti yang dipercayai dapat membantu di dalam pembentukan minda bayi berumur dari 0 hingga 6 bulan.

Aktiviti 1
Belajar melakukan urutan lembut kepada bayi anda. Ini adalah cara pembentukan minda paling utama di mana bayi anda akan mula belajar melalui sentuhan. Urutan boleh dilakukan di keseluruhan badan. Anda boleh mempelajari cara urutan yang betul untuk bayi melalui pembacaan atau menghadiri mana-mana kelas urutan bayi. Atau, anda boleh juga mempelajarinya dari doctor pakar kanak-kanak bayi anda.

Aktiviti 2
Lakukan regangan kepada bayi. Regangan hendaklah dilakukan secara lembut dan tidak perlu terlalu memaksa. Cukup sekadar senaman ringan. Insya-Allah, bayi anda amat menyukainya dan pembentukan otot akan lebih tegap.
Aktiviti 3
Sentiasa berbual bersama bayi anda tidak kira semasa anda sedang menukar lampinnya atau ketika membawanya bersiar-siar. Ini adalah salah satu cara bayi belajar menggunakan bahasa.

Aktiviti 4
Menyanyi/Membaca zikir atau surah-surah al-Quran kepada bayi anda. Apabila diperdengarkan berulang kali kepada bayi, dia akan mula menangkap setiap bait lagu atau ayat al-Quran yang diperdengarkan.

Aktiviti 5
Menayangkan flash card atau buku kecil berwarna di hadapan bayi. Atau, boleh juga apa-apa objek yang berwarna.

Aktiviti 6
Mencuba melakukan pelbagai mimic muka kepada bayi anda. Anda juga boleh mengajuk bunyi yang dibuat oleh bayi anda. Ini membolehkannya belajar tentang persekitaran.

Aktiviti 7
Pelbagaikan posisi dan kedudukan bayi. Jangan biar bayi anda baring terlalu lama semasa dia berjaga. Anda mungkin boleh mendukung, atau dudukkan bayi di paha anda. Jika baring, pelbagaikan posisi; menelentang, mengiring kanan dan kiri, atau meniarap. Ini bagi membolehkan bayi anda menerokai suasana sekelilingnya dan bagi mengelakkan dia berasa bosan.

Aktiviti 8
Lakukan latihan deria bunyi. Anda boleh menggerakkan permainannya yang berbunyi ke lain-lain arah; kiri, kanan, depan dan belakangnya.

Aktiviti 9
Beri bayi anda barang yang lembut seperti ‘cloth book’ atau apa-apa barang sepertinya. Biar bayi anda memegang dan merasa.

Aktiviti 10
Semasa bayi baring menelentang, gerakkan sesuatu objek di hadapannya. Gerakkan pada jarak 12-18 inci dari penglihatannya. Anda akan lihat bayi anda akan mula belajar mengikut arah gerakan tersebut dan akan cuba focus.