Wednesday, February 15, 2012

Bayi Dalam Kandungan dan Rezeki

Salam.
Sudah terlalu lama rasanya tidak mencurah idea dan informasi di dalam blog ini. Tajuk hari ini ialah ‘Bayi Dalam Kandungan dan Rezeki’. Pernahkah anda terfikir, mampukah aku untuk menyediakan keperluan bayi yang berada di dalam kandungan ini, sedangkan dalam keadaan sekarangpun (situasi semasa) apa yang diperoleh tiap-tiap bulan adalah cukup-cukup untuk perbelanjaan bulan tersebut? Bagaimana nak menanggung satu lagi tanggungan yang merupakan tanggungjawab terbesar bagi ibu bapa?

Jika ini dipersoalkan di hadapan orang lain, pasti jawapannya ialah ‘Insya-Allah, setiap anak itu ada rezeki masing-masing’. Jawapan ini adalah jawapan paling selamat untuk menyedapkan hati para bakal ibu dan bapa di luar sana. Namun, dari mana datangnya rezeki tersebut? Tidak lain dan tidak bukan hanya dari Allah Yang Maha Esa. Ini dijelaskan dalam salah satu hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud; “Sesungguhnya seseorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya dalam rahim ibunya empat puluh hari sebagai setitis mani, kemudian dia menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama juga, kemudian dia bertukar menjadi seketul dagingjuga dalam tempoh yang sama, kemudian diutuskan kepadanya malaikat untuk meniupkan roh padanya dan diperintahkan juga oleh Allah akan malaikat itu untuk menulis empat perkara iaitu amalnya, rezekinya, ajalnya, dan adakah dia orang yang celaka atau bahagia...”

Keempat-empat perkara yang telah ditulis oleh malaikat dengan perintah Allah S.W.T. boleh berubah setelah lahirnya bayi tersebut ke dunia ini. Ini adalah kerana bayi tersebut diberi kebebasan oleh Allah S.W.T. untuk berusaha dan berikhtiar bagi menentukan nasibnya di masa akan datang. Di awal kelahirannya, anda sebagai ibu harus memainkan peranan utama di dalam mencorakkan masa depan dan rezekinya. Doa ibu adalah senjata bagi anak yang dapat mengubah nasib anak tersebut. Berdoa, berdoa, dan terus berdoa tanpa henti. Mengeluarkan kata-kata yang baik-baik sahaja untuk anak-anak.

Dari pengalaman saya yang baru sahaja menjadi ibu selama 2 tahun ini, saya perasan yang anak saya mudah mengikut kata-kata yang keluar dari mulut saya dan suami. Sekiranya pujian dan penghargaan yang sering diberikan, dia juga akan turut melakukan perkara yang sama kepada adiknya. Doa saya yang tidak pernah putus buat anak saya Zara Damia Binti Mohd Najib, Muhammad Izz Irfan Bin Mohd Najib, dan bayi dalam kandungan yang hampir mencecah usia 31 minggu; ‘Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, jadikan anak-anakku seorang anak yang soleh dan solehah, tetapkan iman mereka dalam Islam, sentiasa taat dan patuh pada perintahMu, mengikut ajaran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W, taat kepada aku dan suami sebagai ibu bapa mereka, menjadi seorang yang berilmu dan rajin mencari dan menambah ilmu pengetahuan berguna, menjadi seorang yang cerdik akal, berpekerti mulia. Sesungguhnya Engkau Maha Kaya Ya Allah, limpahkanlah kekayaanMu ke atas anak-anakku, murahkan rezeki mereka dan Engkau permudahkanlah urusan mereka. Jauhilah mereka dari perkara-perkara maksiat dan sentiasa beri petunjuk dan hidayah kepada mereka ke jalanMu yang benar. Juga tidak lupa jadikan aku dan suamiku ibu bapa yang dapat mendidik anak-anak kami mengikut petunjuk jalan yang diberkati dan diredhaiMu. Ameen.’

Sekian dulu, wassalam.

Thursday, February 2, 2012

3 Petua Mudah Melahirkan Bayi

Berikut adalah 3 petua bagi memudahkan kelahiran bayi. Anda boleh mencuba, Insya-Allah berhasil dengan izin-Nya.
  1. Amalkan minum air kelapa muda sekurang-kurangnya 1 kali seminggu apabila kandungan anda mula mencecah usia 8 bulan/32 minggu.
  2. Amalkan memakan buah kurma untuk memberi dan menambah tenaga ibu.
  3. Usap perut anda dan bercakap dengan bayi dalam kandungan supaya dia berada di kedudukan yang betul dan bersedia untuk keluar dengan mudah apabila tiba masanya. Lebih elok lagi jika anda menyatakan keterujaan anda untuk menerima kehadirannya secepat mungkin.